“BOLEHKAH saya tinggalkan teman wanita kerana dia semakin gemuk?,” Begitulah luahan hati seorang lelaki yang telah dikongsikan di Twitter @twtmalaywedding, hari ini.
Bagaimanapun, identiti sebenar lelaki itu tidak dapat dipastikan.
Menurut lelaki itu lagi, percintaannya dengan teman wanita kini sudah menjangkau tahun yang ketujuh.
“Dulu, teman wanita saya kurus tetapi sekarang semakin gemuk. Saya selalu ajak dia (teman wanita) ke gim untuk bersenam. Tetapi, dia tidak mahu,” luahnya.
Dalam pada itu, lelaki tersebut turut mengakui sudah tertarik dengan gadis lain.
“Pada masa yang sama, ada seorang perempuan lain yang meminati saya. Kami pergi ke gim yang sama.
“Saya berminat untuk menjalinkan hubungan dengan dia. Tetapi, rasa bersalah pula hendak tamatkan hubungan sedia ada
“Patut ke tidak saya ‘break’ (putus) dengan dia (teman wanita) sebab inginkan seseorang yang lebih sesuai? Saya takut menyesal sampai ke tua,” kata lelaki tersebut mengakhiri pengakuannya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna Twitter ‘menyelar’ kedangkalan lelaki tersebut yang hanya memandang luaran sahaja.
“Satu hari nanti kalau kau gemuk, kena tinggal padan muka. Bincanglah elok-elok, mengapa dia gemuk dan apa yang perlu dilakukan untuk jadi kurus. Nama pun pasangan hidup, susah senang sama-sama,” pesan Aiman.
“Bayangkan nanti, selepas kahwin, berat badan naik sebab ‘pregnant’ (mengandung). Takkan nak cari perempuan lain yang kurus sedangkan dia bawa anak kau?
“Tak apalah, tinggalkan sahaja. Dia lebih layak bersama dengan orang lain,” kata seorang lagi pengguna Twitter.
Kini, dilema lelaki ini telah meraih 93,100 tontonan dan 433 ulang ciap.
Sumber gambar – Vocket | Sumber laporan – Kosmo Digital