TULAR sebuah perkongsian oleh seorang pengguna @anne_nma di Twitter mengenai kejadian beli ubat di sebuah farmasi di Kuala Terengganu.
Gadis yang dikenali sebagai Anne itu bercerita bahawa ketika dia sedang menunggu bapanya berjumpa doktor kerana sakit, tanpa sengaja dia terdengar perbualan seorang wanita dan penjaga kaunter di farmasi klinik tersebut.
“Semua sekali RM60++ total ubat anak dia dan wanita itu tunjuk kad dia sambil tanya sama ada boleh atau tidak dia menggunakan kad tersebut”, jelasnya.
Tambahnya, “puan di farmasi itu beritahu yang kad itu tidak boleh digunakan disini tetapi sebelum wanita berkenaan beredar. puan farmasi itu, langsung memanggil wanita itu kembali dan menjelaskan bahawa dia yang akan membayar ubat untuk anak wanita tersebut”.
Apabila tiba giliran Anne untuk membayar jumlah bagi rawatan bapanya, dia yang melihat kejadian itu langsung bertanya jumlah ubat wanita yang sudah beredar sebentar tadi untuk dia membayar semula bersama jumlah rawatan ayahnya.
Namun, permintaannya ditolak oleh wanita di kaunter farmasi itu berkali-kali kerana dia tidak kisah untuk membayarkan jumlah ubat yang dikenakan kepada wanita berkenaan.
Disebabkan terharu, gadis itu turut mendoakan agar rezeki pekerja wanita farmasi itu diluaskan lagi sekaligus terharu dengan keprihatinannya yang memahami kesusahan orang ramai dikala pandemik ini.
Apa pun, semoga semua orang tabah menghadapi kehidupan dan ingatlah dalam rezeki kita yang banyak itu mungkin ada juga terselit rezeki orang lain dan tidak salah jika ia disalurkan semampu kita bagi membantu orang dalam kesusahan.