SEORANG warga emas dari Sulawesi Selatan mengakhiri penantiannya untuk bertemu jodoh meskipun sudah berusia 66 tahun.
Warga emas dikenali sebagai Nenek Wellu itu bertemu jodoh dengan lelaki yang dikatakan sudah lama menyimpan perasaan terhadapnya, Baruddin, 71, lapor Kosmo.
Menurut wanita itu, ia merupakan perkahwinan pertamanya dan bagi Baruddin, ia adalah perkahwinan kedua.
“Dia sudah lama berharap untuk menjadi pasangan hidup saya. Ramai perempuan yang suka kepadanya, namun dia tetap memilih saya.
“Bahkan anak Baruddin juga pernah berkata bahawa dia tidak mengizinkan bapanya berkahwin lagi kalau bukan dengan saya. Sudah lama dia berharap untuk memperisterikan saya,” kata Nenek Wellu.
Sementara itu, berita mengenai perkahwinan Nenek Wellu dan Baruddin menjadi tular selepas dimuat naik di media sosial.
Pernikahan pasangan ini dikatakan menjadi motivasi kepada mereka yang sudah berusia namun masih belum bertemu jodoh.
Sumber: Kosmo