Suasana kecoh di Klang, bas pekerja terbakar dan bergerak sendiri

SUASANA di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang bertukar kecoh apabila sebuah bas pekerja terbakar dan bergerak sendiri, petang Sabtu.

20 pekerja kilang yang menaiki bas itu bagaimanapun sempat termasuk pemandu bas terbabit sempat menyelamatkan diri daripada suasana panik itu.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian pada jam 6.20 petang itu, bas yang terbakar itu telah melanggar satu kereta jenis Perodua Kancil.

Hasil siasatan awal mendapati bas itu dari Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang untuk menghantar pekerja.

“Apabila sampai di Persiaran Raja Muda Musa berhampiran pekan Pelabuhan Klang (menghala Jalan Kem), secara tiba-tiba asap keluar di bahagian gear bas.

“Pemandu bas yang berusia 30 tahun itu kemudian memberhentikan bas di tepi jalan dan mengarahkan penumpang untuk turun.

“Bagaimanapun tiba-tiba bas berkenaan bergerak sendiri dengan perlahan dan melanggar belakang sebuah kereta sebelum masuk ke laluan bertentangan dan berhenti hadapan sebuah kedai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, seramai enam anggota termasuk pegawai bersama jentera Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 6.16 petang.

Jelas beliau, bas tersebut dianggarkan terbakar 40 peratus dan tidak melibatkan mangsa. 

Beberapa rakaman kejadian turut tular memaparkan bas tersebut melanggar beberapa buah kenderaan sebelum berhenti selepas merempuh sebuah premis.

Sumber: Harian Metro, Kosmo