BUKAN satu, dua atau tiga kereta, sebaliknya Nik Nurul Hidayah Nik Azlan menerima kunjungan daripada tetamu yang datang ke rumahnya di Sungai Pusu di sini, dengan menaiki bas.
Lebih menarik, bas itu dipandu seorang suami yang membawa dua isterinya bersama 23 anak mereka.
Kisah itu mendapat perhatian selepas Nik Nurul Hidayah, 29, memuat naik video di TikTok Rabu lalu.
Bercerita lanjut, Nik Nurul Hidayah berkata, tetamu yang datang itu sepupunya juga isteri pertama bersama suami, madu dan anak mereka.
Katanya, mereka datang pada petang hari raya kelima, lapor Harian Metro.
“Setiap tahun, sepupu saya itu memang datang ke rumah untuk beraya. Kebiasaannya, dia datang bersama madu dan anak mereka namun kali ini membawa bersama suami.
“Mereka sudah maklum lebih awal untuk datang dan sebagai tuan rumah, saya, suami juga emak yang tinggal bersama berbesar hati menerima kunjungan itu.
“Lagipun, rumah rasa meriah dengan kunjungan mereka dan boleh dikatakan, ini adalah tetamu dengan bilangan ahli keluarga paling ramai berkunjung ke rumah kami,” katanya dihubungi Harian Metro, semalam.
Nik Nurul Hidayah berkata, dia kagum melihat keharmonian keluarga itu dan kemesraan kedua-dua isteri walaupun hidup bermadu.
“Walaupun berpoligami, mereka baik-baik saja, malah boleh beraya bersama suami dan anak-anak.
“Biarpun ramai, anak mereka sangat menjaga tertib dan perlakuan di rumah saya. Ini menunjukkan mereka mendapat didikan yang baik,” katanya.
Berhubung perkongsian di TikTok, Nik Nurul Hidayah yang juga ibu dua anak tidak menyangka video dimuat naiknya dapat perhatian ramai.
“TikTok saya biasa-biasa saja. Saya muat naik video itu sebagai kenangan ketika Aidilfitri.
“Keesokannya (sehari selepas muat naik video), saya terima banyak notifikasi, jadi saya memang terkejut.
“Alhamdulillah, ramai yang beri komen mendoakan keluarga berkenaan,” katanya yang kini menjana pendapatan dengan menjual produk kosmetik secara dalam talian.
Sumber gambar & laporan – Harian Metro