DEMI membantu skandalnya bersalin di hospital, seorang lelaki berusia 36 tahun sanggup menyalahgunakan kad pengenalan isterinya yang sah untuk mendaftar masuk pasangan curangnya ke hospital, selain menggunakan kad pengenalan itu untuk membuat pinjaman wang, lapor portal The Reporter.
Setelah perbuatan lelaki itu diketahui, isterinya, 37, terus membuat laporan di Balai Polis Tanjung Balai pada Rabu, 11 November lepas di Sumatera Utara, Indonesia.
Bercakap kepada media, si isteri mengakui dia mula berasa curiga selepas memeriksa kandungan beg suaminya yang mempunyai gelang bayi yang tertulis nama suaminya serta sehelai tuala.
Apatah lagi kelakuan lelaki itu mula berubah sejak Februari tahun ini apabila dia kerap keluar rumah untuk jangka masa yang lama sedangkan dia sudah mempunyai anak lelaki berusia lapan tahun.
Si isteri juga mengakui dia pernah dipukul oleh lelaki itu hanya kerana dia meminta keluarganya mencari suaminya yang sudah lama tidak pulang ke rumah dan mereka menemui lelaki itu di sebuah kafe.
Sebaik saja pulang ke rumah, lelaki itu terus mengamuk dan memukul isterinya dan berlaku juga adegan lelaki itu mengejar isterinya dengan sebilah parang. Mujurlah kejadian itu sempat dileraikan oleh keluarga mereka.
Sejak kejadian itu, si suami terus keluar dari rumah dengan membawa dokumen-dokumen penting keluarga termasuk kad pengenalan isterinya.
“Saya kata, kalau dia sudah tidak suka pada saya lagi, katakan saja,” kata si isteri.
Jurucakap polis, Rapi P. berkata, pihaknya menerima laporan itu dan sedang menjalankan siasatan.
Sumber: The Reporter