Seorang Wanita Terpaksa Hubungi Polis Selepas Menunggu Selama 3 Jam Di Ruang Parkir Kerana Dihalang Kereta ‘Double Park’

PETALING JAYA – Seorang wanita terpaksa menunggu hampir tiga jam di ruang parkir gara-gara keretanya dihalang oleh kenderaan lain di sebuah apartmen.

Menerusi perkongsian Siti Nur Aisah Afandi di Facebook semalam, dia terpaksa menghubungi pihak polis untuk membantu gara-gara gagal memanggil pemilik kenderaan terbabit.

“Kau orang tengoklah macam mana nak keluar, dua jam aku hon tak ada siapa yang keluar. Kemudian jerit panggil dalam 10 minit tapi masih tak keluar.

“Jadi saya hubungi polis terdekat. Polis sampai sahaja tak smpai 20 minit pemilik keluar tak pakai baju. Dia beritahu yang dia lupa.

“Semalam tak ada parkir jadi dia letak lah situ. Dia minta maaf dia cakap dia sakit kanser. Saya ini jenis cepat kasihan, saya sikit pun tak marah dekat dia, tapi abang polis sahaja lah yang marah,” kongsinya dalam satu hantaran.

Menurut wanita itu, polis yang datang membantu ingin bertindak menghubungi pihak lori tunda bagi mengalihkan kenderaan tersebut namun, belum sempat berbuat demikian pemilik kenderaan terbabit telah munculkan diri.

“Okey selesai. Kawan aku cakap dia (pemilik kenderaan) sakit bukan pekak, betul lah kan. Dekat tiga jam menunggu, boleh ke kau orang sabar macam aku?.

“Polis nak hubungi ‘towing’ tapi pemilik kereta dah keluar,” tambahnya.

Perkongsian wanita itu menjadi tular dan turut dikongsikan di kumpulan Facebook, B40 Buat Perangai Apa Harini sehingga menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai.

“Kalaua saya, tak sampai sejam ‘towing’ dah tarik kereta itu, kalau nak ‘double park’ (parkir berlapis) peka la, jangan susahkan orang lain,” pesan Ahmad Saibullah.

“Kalau kawasan apartmen memang masalah parkir, PBT (pihak berkuasa tempatan) perlu main peranan atasi masalah ini, kadang itu kereta kena halang macam ini dah lewat nak ke kerja,” luah Ayuni Mirza. 

Sumber : Kosmo