TIDAK dinafikan, perangai dan minat kanak-kanak memang sukar dijangka dan sebagai orang dewasa, banyak hal yang perlu kita perhatikan.
Kemahuan dan kehendak kanak-kanak juga banyak dan ada diantara mereka yang merengek dan menangis jika permintaan mereka tidak dituruti termasuklah dengan mainan yang mereka mahu.
Sama seperti kanak-kanak perempuan, biasanya mereka lebih gemar dengan permainan masak-masak, patung barbie dan beruang kerana ia kelihatan comel tetapi lain untuk seorang kanak-kanak ini.
Melalui perkongsian gambar dari seorang pengguna @updatext di Twitter, seorang kanak-kanak dilihat sedang memegang anak patung miliknya. Namun, apa yang mengejutkan adalah ianya bukanlah patung yang comel malah ia adalah patung pocong.
Patung pocong tersebut lengkap dengan kain kafan putih, wajah seram, kotor dan sambil tersenyum. Ketika kebanyakan kanak-kanak akan takut dengan patung jenis hantu, lain pula dengan adik ini. Dia terlihat sangat berani sehingga patung tersebut dibawa untuk tidur bersama.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet terkejut dengan ‘selera’ patung kanak-kanak ini. Ada di antara yang memuji keberaniannya dan juga sebaliknya. Apa pun adik ini pasti bakal jadi wanita pemberani pada masa hadapan.