SCAMMER paras luar biasa! Itu yang boleh dikatakan apabila sekumpulan individu di bandar Bika, dalam negeri Bihar terletak di timur laut India berjaya mengelirukan penduduk tempatan dengan membina sebuah balai polis palsu.
Lebih mengejutkan, balai polis palsu yang beroperasi seperti balai polis sebenar itu sudah menjalankan kegiatan mereka selama lapan bulan dan ia terletak hanya kurang 500 meter dari balai polis sebenar.
Enam individu yang dipercayai dalang dalam sindiket itu juga mengenakan pakaian seragam lengkap polis dan beroperasi di luar sebuah hotel.
Mereka dikatakan ‘memberi perkhidmatan’ menerima aduan jenayah sehinggalah kepada permohonan perumahan masyarakat.
Selain itu, geng ‘scammer’ ini mendakwa boleh membantu orang ramai mendapatkan pekerjaan dalam jabatan polis dengan bayaran antara 94 rupee(RM5.30) hingga 945 rupee (RM54).
Sendiket dikatakan membayar gaji harian kepada individu dari kawasan luar bandar RM26 untuk berpura-pura menjadi anggota polis lain yang bekerja di balai itu.
Bagaimanapun kegiatan mereka akhirnya terbongkar selepas seorang anggota polis sebenar melihat seorang daripada mereka membawa jenis pistol yang tidak dipakai oleh pihak berkuasa.
Polis kemudian menyerbu balai polis palsu itu.
Namun, ketua kumpulan itu, Bola Yadav, masih diburu.
Pegawai yang menyerbu balai polis palsu itu menemukan 40 kad pilihan raya digunakan untuk memohon skim pembangunan dan 500 permohonan untuk perumahan sosial yang tidak dipos seperti sepatutnya.
Sumber: Kosmo, Berita Harian