POLIS Petaling Jaya memohon mana-mana saksi bagi insiden tular melibatkan sebuah kenderaan yang memandu di laluan motosikal untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakrhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian tular itu berlaku di Lebuh Raya Persekutuan dari arah Shah Alam semalam.
“Satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kenderaan yang tular di media sosial itu membabitkan kenderaan jenis Proton Persona dengan nombor pendaftaran (TAW 9338).
Juster polis menyeru mana-mana saksi kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi balai polis berhampiran atau terus berhubung bersama Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Rozilah Hussin di talian (016-2679025).
Video tular berdurasi 23 saat itu memaparkan kenderaan tersebut yang melalui laluan motosikal selain turut menghalang laluan pengguna motosikal.
Tindakan itu juga telah mengundang perasaan kurang senang dalam kalangan pengguna di kawasan itu malah suspek seolah-olah tidak menghiraukan pengguna motosikal meskipun hon telah dibunyikan berkali-kali.