Pilunya! OKU sukar terima kenyataan rumah pusaka terbakar

SEORANG lelaki orang kelainan upaya (OKU) penglihatan masih belum dapat menerima kenyataan bahawa rumah pusaka milik keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampung Pangkalan Nangka, Pengkalan Chepa, Kelantan semalam, lapor Kosmo!

Mohd. Yazid Mohd.Nor, 30, yang buta kedua-dua belah matanya itu masih duduk di hadapan rumahnya sehingga hari ini malah tidak henti-henti mengalirkan air mata mengenangkan keadaan itu.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, Mohd. Yazid sedang tidur di dalam sebuah bilik sebelum merasai bahang api pada bahagian muka dan badannya.

Katanya, melihat keadaan api yang sudah marak, dia bergegas bangun dan mengejutkan dua orang abangnya, Fakhru Razi, 36 dan Khairuzaman, 39, yang juga sedang tidur di dalam bilik masing-masing untuk menyelamatkan diri.

“Kami tiga beradik kini tinggal sehelai sepinggang. Tiada apa yang dapat diselamatkan. Saya buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Saya sedih dan masih tidak percaya bahawa rumah sudah terbakar,” katanya ketika ditemui Kosmo!

Terdahulu, kejadian yang menimpa Mohd. Yazid dan dua abangnya viral di media sosial apabila rumah mereka hangus dan kebakaran itu menyebabkan kediaman mereka hanya tinggal bahagian tangga dan bilik air sahaja.

Lebih menyedihkan, gambar Mohd. Yazid yang sedang duduk di atas tangga rumahnya sambil menangis kerana dia beranggapan rumah itu masih ada turut viral sejak semalam.

Mengimbas kembali detika kejadian, Fakhru Razi berkata, apabila menyedari api marak, dia menarik Mohd. Yazid yang merupakan adik bongsunya keluar untuk menyelamatkan diri.

“Saya bernasib baik kerana dikejutkan oleh adik yang datang ke bilik saya selepas dia berasa bahang panas. Mengikut maklumat bomba, kebakaran itu berlaku kerana litar pintas di bilik Mohd. Yazid.

“Kami bertiga kini tiada tempat berteduh dan hanya menumpang di sebuah stor barang milik bapa saudara, Che Abd.Halim Ibrahim, 60, yang tinggal bersebelahan rumah,” katanya.

Ujarnya, mereka tiga beradik tidak mampu untuk membina rumah baharu di tapak itu kerana tidak mempunyai pendapatan tetap apabila dia dan abangnya hanya bekerja sendiri.

Sementara itu Che Abd. Halim berkata, tiga anak saudaranya tinggal di rumah itu selepas kematian ibu mereka, Siti Mariam Salleh kira-kira 16 tahun lalu.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan untuk meringan beban keluarga Mohd. Yazid boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun bank CIMB 7617346681 atas nama Fakru Razi Mohd.Nor atau hubungi talian 013-939 7019.

Sumber: Kosmo!