“SEPULUH kali saya menghubungi nombor telefon pelanggan misteri itu tetapi tiada siapa yang jawab,” kata penghantar makanan, Muhammad Khuzaimie Lemat, lapor Harian Metro.
Perkongsian Muhammad Khuzaimie, 23, di aplikasi TikTok miliknya mengenai pelanggan yang memesan makanan di kawasan jirat cina di Sungai Putat, Melaka, mendapat perhatian warganet.
Video berdurasi 59 saat itu menunjukkan Muhammad Khuzaimie berdiri keseorangan di lokasi perkuburan berkenaan sambil menunggu pelanggan.
Berkongsi lanjut, Muhammad Khuzaimie yang sudah setahun menjadi penghantar makanan di sekitar Melaka berkata, dia yakin pesanan itu dibuat oleh pelanggan yang sengaja membuat gurauan memandangkan kaedah pembayarannya ialah bayar selepas terima atau ‘cash on delivery’ (COD).
Katanya, pelanggan yang tidak bertanggungjawab itu menempah nasi goreng USA, nasi goreng ayam, teh o ais dan sirap ais.
“Kejadian itu berlaku kira-kira 6 petang, 23 Januari lalu. Saya menunggu hampir 40 minit dan sempat membuat kandungan video mengenai kejadian itu kerana terlalu marah.
“Pada mulanya, saya meneka itu pesanan daripada penggali kubur tetapi tiada seorang manusia pun yang menunggu di situ,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, perkongsian di media sosial miliknya itu juga bertujuan bagi membuka mata masyarakat mengenai cabaran yang perlu dilalui penghantar makanan sepertinya.
“Sudah lebih 10 kali saya terkena dengan ‘prank order’ seperti ini dan jumlah paling tinggi syarikat alami kerugian adalah sebanyak RM120.
“Kejadian seperti tempoh hari lalu merugikan masa dan tenaga saya. Mujur, pesanan itu dibuat pada siang hari dan bukannya pada waktu malam,” katanya.
Katanya, taktik itu juga kemungkinan digunakan penjenayah untuk menyamun ‘rider’ yang kebiasaannya mempunyai sekurang-kurangnya RM100 dalam tangan.
“Pada hari itu, saya takut juga, bukan takut hantu tapi penyamun. Kita tidak tahu siapa yang memesan makanan dan saranan saya berhati-hatilah.
“Bukan saja perlu berhati-hati ketika memandu tetapi juga ketika berjumpa dan berhubung dengan pelanggan,” katanya.
Muhammad Khuzaimie berkata, selepas tidak dapat menghubungi pelanggan itu dia kemudian memaklumkan masalah yang dihadapinya kepada pihak khidmat pelanggan untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Harian Metro