RENTETAN kes ‘Sambal Nyet’ tiruan seperti dimaklumkan oleh Khairul Aming baru-baru ini. Individu terbabit telah tampil bertemu dengan pihak Khairul Aming bagi meminta maaf dan mengakui kesilapan yang telah dilakukan.
Sebelum ini, individu yang menjual produk Sambal Nyet palsu menggunakan nama Masturaaliyah bukan sahaja ‘menciplak’ Sambal Nyet keluarannya, tetapi membuatkan kualiti produk dihasilkan mendapat maklum balas negatif kerana menjual sambal yang berbau busuk dan berbuih.
Khairul Aming juga telah membuat laporan polis berhubung isu tersebut dan mendedahkan nama individu tersebut sebagai pengajaran buat semua.
Walaupun wanita tersebut telah datang mengakui kesilapan, Khairul Aming telah membuat tiga tuntutan kepada individu berkenaan.
Pertama, dia harus membayar pampasan wang tunai. Walau bagaimanapun, duit itu tidak akan digunakan untuk membuat refund tetapi akan disedekahkan kepada asnaf. Khairul Aming memaklumkan dia tidak akan mengambil atau menggunakan duit pampasan tersebut.
Tuntutan seterusnya, pemohonan maaf secara terbuka dan ia telah pun dilakukan dan dikongsi oleh Khairul Aming. Akhir sekali adalah membuat pengakuan salah kepada pihak polis serta membuat pemintaan maaf secara bertulis.
Selain itu, selebriti media sosial itu juga memaklumkan bahawa kedai wanita itu di Shopee sudah disekat oleh aplikasi beli-belah itu walaupun telah menukar nama dari Masturaaliyah kepada DK Perfume Shop.
Lanjutan daripada itu, Khairul Aming berharap agar perkara seperti itu tidak berulang lagi pada masa hadapan dan berharap ramai pihak menjadikan kes berkenaan sebagai salah satu pengajaran.
Sementelahan, dia juga sempat mengucapkan selamat berpuasa kepada semua warganet yang mengikuti setiap perkembangan mengenai produk ‘Sambal Nyet’ keluarannya.