BERFIKIR di luar kotak! Itulah yang dilakukan satu pasangan pengantin di India yang mengambil keputusan untuk adakan majlis perkahwinan mereka ketika berada di udara bagi mengelak sekatan yang dikenakan kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19
Menurut laporan BBC, pasangan tersebut menyewa sebuah pesawat bagi mengadakan majlis perkahwinan mereka bersama 160 tetamu jemputan.
Rakaman majlis tersebut dikongsi di akaun media sosial dan kini dalam siasatan pihak berkuasa, lapor Astro AWANI.
Pesawat berkenaan dipercayai berlepas dari Tamil Nadu yang mengehadkan bilangan tetamu majlis perkahwinan kepada 50 jemputan sahaja.
Seorang pegawai daripada Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) memberitahu Times of India, seorang anak kapal yang bertugas di pesawat SpiceJet ketika kejadian, telah digantung kerja.
Menurut jurucakap SpiceJet, pesawat Boeing 737 itu ditempah untuk perjalanan dari Madurai ke Bangalore bagi membawa pasangan pengantin itu berbulan madu, lapor Indian Express.
Jelasnya ketika membuat tempahan, pasangan berkenaan telah diberitahu tentang prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan syarikat berkenaan serta larangan adakan sebarang majlis di dalam pesawat.
India kini berdepan gelombang kedua COVID-19 dengan angka korban melepasi 300,000 kes, menurut data Kementerian Kesihatan.
Hospital dan pusat pembakaran mayat sesak sejak beberapa minggu lalu menyebabkan kekurangan bekalan oksiden selain pembakaran mayat dilakukan sepanjang hari.
Ramai yang tidak mampu membayar kos pembakaran mayat terpaksa tanam ahli keluarga mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 di tepi sungai Ganges secara haram.
Mayat mangsa turut dilaporkan terapung di sungai tersebut.
Sumber: Astro AWANI