MASIH ada lagi rupanya yang mengamalkan sihir minyak pengasih waima sudah memasuki tahun 2021.
Mengimbau peristiwa dua tahun lalu membuatkan Hafiz (bukan nama sebenar) terasa sangat perit dan lebih berhati-hati pada masa akan datang, lapor Kosmo!
Pemuda berusia 29 tahun itu tidak menyangka keputusannya untuk menerima tawaran bekerja di sebuah syarikat swasta di selatan tanah air telah meninggalkan pengalaman pahit yang sukar dilupakan.
Tempat kerja itu boleh dikatakan cukup sempurna pada peringkat awal kerana rakan-rakan sekerjanya sangat peramah dan majikan juga baik apatah lagi gaji diterima agak lumayan.
Tanpa disedari, rupa-rupanya ada sepasang ‘mata’ yang tertarik dengan ketampanan pemuda tersebut.
Namun, yang tidak ‘manis’ wanita tersebut merupakan isteri orang dan ibu kepada dua orang cahaya mata.
“Saya sungguh tidak menyangka wanita tersebut yang merupakan pengurus di situ cuba bermain cinta dan ingin berlaku curang di belakang suaminya.
“Seringkali wanita itu cuba mendekati saya dengan memberikan pelbagai alasan seperti meminta saya membetulkan komputer dan membaiki lampu yang jauh sekali lari daripada skop tugas di situ,” katanya memulakan bicara.
Saban hari, tingkah laku wanita tersebut yang lima tahun lebih tua daripadanya semakin ‘ligat’ dan mencuba pelbagai helah untuk mendekati lelaki berasal dari Pantai Timur itu.
Jelas Hafiz, dia berasa sangat tidak selesa dengan suasana yang agak menjengkelkan itu tetapi apakan daya dia terpaksa akur walaupun hatinya menolak keras.
“Saya berasa pelik dan tertanya-tanya kenapa dia cuba berbuat demikian sedangkan rumah tangganya kelihatan bahagia, dikurniakan suaminya baik dan dua orang anak yang sangat comel.
“Walaupun berasa tidak selesa dengan tingkah laku wanita tersebut tetapi saya tetap meneruskan pekerjaan seperti biasa kerana memikirkan tanggungjawab mencari rezeki untuk keluarga,” tutur anak sulung daripada enam beradik itu lagi.
Apa yang membuatkan Hafiz berasa tidak tenang apabila rakan sekerjanya turut berkongsi kisah dengan mendakwa, wanita tersebut pernah menjalin hubungan sulit dengan salah seorang pekerja di situ.
Mengucap panjang Hafiz apabila mendengarkan perkara tersebut dan bertekad dia tidak akan sesekali berbuat perkara terkutuk itu apatah lagi dengan isteri orang.
Bagaimanapun, perasaan itu tidak lama selepas dia tiba-tiba sering teringatkan wanita berkenaan dan perasaan rindu menjelma dalam diri, sedangkan sebelum ini jauh sekali hendak memikirkannya.
Perubahan diri pemuda itu juga disedari rakan serumah yang juga abang sepupunya yang mengesyaki dia sudah terkena sihir.
Hafiz dinasihatkan agar kurang berjumpa dengan wanita tersebut bagi mengelak sebarang perkara buruk berlaku.
Hafiz yang bagaikan kemaruk cinta tidak menghiraukan nasihat sepupunya itu.
“Risau akan keadaan saya, abang sepupu telah menghubungi kawannya yang ‘pandai’ mengubati penyakit terkena sihir.
“Hasil daripada pengamatan kawannya, saya dikatakan terkena sihir pengasih,” tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu.
Walaupun perkara itu diberitahu oleh abang sepupu tetapi Hafiz tidak percaya dan menolak keras perkara tersebut.
Tidak mahu membiarkan Hafiz terus hanyut dalam cinta palsu itu, abang sepupunya membawa pemuda itu untuk membuat rawatan.
“Syukur alhamdulillah, selepas rawatan itu badan dan fikiran terasa beransur pulih serta mampu berfikir dengan waras.
“Saya mengambil cuti rehat selama seminggu untuk menenangkan fikiran,” ujarnya.
Dalam berat hati, Hafiz telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi mengelakkan sesuatu lebih buruk pada masa akan datang.
Sumber: Kosmo!