Pelancong Bukan Islam Kagum Dengar Laungan Azan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa, Muhammad Qayyim

PETALING JAYA – Laungan azan oleh johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang dinobatkan baru-baru ini ternyata memukau para pelancong yang hadir ke Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan.

Menerusi video yang dimuat naik oleh @masjidmuhammadikb di akaun TikTok, laungan azan oleh Muhammad Qayyim Nizar Sarimi menarik perhatian para pelancong bukan Islam yang berkunjung ke masjid berkenaan.

Ada di antara mereka juga tidak melepaskan peluang merakam momen ketika Muhammad Qayyim sedang melaungkan azan.

Di penghujung video, pelancong wanita berkenaan turut tersenyum dan berkata sesuatu bagi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Muhammad Qayyim.

Sehingga kini, video tersebut mendapat 354,800 tontonan, 27,300 tanda suka dan 1,281 perkongsian.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang kagum mendengar kemerduan laungan azan insan istimewa tersebut yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

“Alhamdulillah. Merdu suara Qayyim, insha Allah pelancong itu dapat hidayah dari Allah,” komen Sophia Othman.

“Subhanallah, semoga dengan mendengar azan merdu ini terbuka hati mereka untuk memeluk islam,” komen Zalidah.

“Memang patut juara Tilawah baru-baru ini. Sangat hebat suaranya Ya Rabb,” komen seorang pengguna lain.

Kelmarin, Muhammad Qayyim, 25, yang merupakan Qari Malaysia muncul juara kategori tilawah lelaki bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 1445H/2023 M di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Muhammad Qayyim berjaya merangkul tempat pertama bagi kategori lelaki dengan catatan markah 94.96 peratus.

Beliau dilaporkan mendalami dan mempelajari skil bacaan al-Quran menggunakan naskhah Braille.

Tempat kedua pula dimenangi Alireza Bizhaniavval dari Iran yang memperoleh 93.30 peratus, manakala Awang Mohd Zul-Hafiz Awang Tengah dari Brunei Darussalam di tempat ketiga dengan 90.38 peratus.

Sumber : Kosmo