PATUTLA sering sakit perut! Seorang lelaki terkejut apabila mendapati ia disebabkan oleh seekor cacing pita sepanjang 18 meter yang hidup dalam badannya, lapor Daily Star.
Lelaki berusia 67 tahun yang berasal dari wilayah Nong Khai itu berkata, setelah menderita ‘kembung perut’ sejak awal Mac lalu, dia memutuskan untuk pergi ke hospital bagi memeriksa keadaanya kesihatannya.
Daripada sampel najis yang diambil, doktor mendapati terdapat 28 larva berjangkit yang dipercayai datangnya daripada daging yang tidak dimasak.
Cacing pita tersebut kemudiannya berjaya dikeluarkan dari dubur lelaki berkenaan keesokan harinya selepas dia diberikan ubat.
Selepas diukur, cacing pita tersebut didapati sepanjang 18 meter, sekaligus menjadikannya sebagai cacing pita terpanjang yang pernah dilihat di Thailand dalam tempoh 50 tahun.
Sementara itu, doktor yang mengetuai pasukan mengeluarkan cacing tersebut, Dr. Schawanya Rattanapitoon berkata, ia dipindahkan ke dalam badan menerusi aktiviti memakan daging mentah, dan parasit itu boleh hidup dalam badan manusia selama lebih 30 tahun.
“Bagaimanapun, pada masa ini, ia tidak dapat bertahan lama kerana terdapatnya perubatan yang lebih baik.
“Kami telah mencadangkan keluarga pesakit tersebut untuk turut melakukan ujian perubatan memandangkan mereka turut berisiko mengandungi cacing tersebut di dalam badan,” ujarnya.
Pesakit berkenaan dan keluarganya diberi amaran untuk tidak lagi memakan daging mentah kerana ia adalah penyebab utama kepada ancaman parasit yang tinggal di dalam badan.
Taenia saginata, kebiasannya disebut sebagai cacing pita daging, merupakan sejenis parasit yang boleh hidup dalam badan manusia sehingga 30 tahun.
Manusia boleh terdedah kepada ancamannya apabila memakan daging mentah atau kurang masak yang mengandungi larva berjangkit.
Sumber: Kosmo!