PETALING JAYA – Seorang penjual produk kecantikan dikecam di laman Twitter selepas mempromosikan sejenis serum yang dikatakan dapat mencerahkan kulit kaki sehingga nampak urat hijau.
Menerusi video yang berdurasi 34 saat itu, penjual produk tersebut turut mendakwa serum yang dijualnya dapat memutihkan kawasan hitam di buku lali serta pelipat badan sekiranya digunakan dengan kerap.
“Saya pakai produk ini sampai terkeluar semua urat hijau. Suka sangat,” komen seorang pengguna.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai di laman Twitter menyuarakan kegusaran masing-masing mengenai produk tersebut dan berpendapat ia mungkin mengandungi merkuri yang boleh menipiskan kulit.
“Tidak perlu putih sampai begini. Melanin yang memberikan warna pada kulit itu bukan saja-saja dicipta. Tugasnya adalah untuk melindungi kulit dari sinar ultraungu (UV) matahari. Semakin kurang melanin, semakin tinggi risiko untuk menghidap kanser,” kata Syaza.
“Dulu, saya pun obses inginkan kulit yang putih sebab mak dan makcik semuanya mempunyai kulit yang putih melepak. Macam-macam supplemen saya makan. Tetapi, biarlah cantik dalam berbanding cantik luar. Adik saya gelap sedikit tetapi tak ada pun obses untuk nampak putih,” kata Azza.
“Kalau macam ini, silap-silap tak boleh kena cahaya matahari langsung. Tak takut ke kena kanser kulit?,” kata seorang pengguna.
“Orang sekarang obses nak kulit putih sampai begitu sekali,” kata H.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 1,200,000 tontonan dan 2,514 tanda suka.