AKIBAT salah faham berhubung isu hutang sewa rumah, seorang lelaki berusia 30an menyamar sebagai seorang anggota polis bagi tujuan melindungi diri dalam kejadian di Taman TTDI Grove Kajang pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisoner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek telah bertindak mengeluarkan kad kuasa polis sewaktu berlakunya pertelingkahan berhubung insiden berkenaan.
Pengadu yang curiga terhadap suspek telah menghubungi pihak polis untuk semakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan anggota polis peronda yang hadir di tempat kejadian telah menahan suspek serta mengesahkan suspek bukan anggota polis dan hanya menggunakan kad kuasa polis palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu polis turut membuat beberapa rampasan daripada suspek antaranya kad kuasa palsu, baju operasi polis yang tertera nama suspek, serta gari.
Setakat ini, suspek dikatakan berada dalam tahanan reman sehingga 22 Oktober.
Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda kerana menyamar sebagai anggota polis dan memiliki barangan peralatan polis yang tidak sah disisi undang-undang.