SEBAGAI umat Islam, adalah menjadi kewajipan bagi setiap hamba-Nya melakukan kebaikan sesama manusia.
Hal ini termasuklah amalan bersedekah kepada golongan yang memerlukan, sekali gus menjamin pahala berganda.
Apatah lagi jika sesuatu yang ingin disedekahkan itu disediakan sendiri oleh si penderma.
Begitulah yang dilakukan usahawan terkenal, Aleeya Zailan dan suaminya, Azri Aziz atau lebih dikenali sebagai Big Boss yang berkongsi beberapa video memasak sendiri hidangan untuk diagihkan kepada 340 jemaah masjid sempena sambutan Maulidur Rasul di Masjid As-Syakirin Gombak, Selangor baru-baru ini.
Menerusi video dikongsikannya di laman Instagram dan Tiktok miliknya, kelihatan Aleeya dan Azri serta beberapa pembantu bertungkus-lumus menyediakan masakan.
“Sebanyak 340 kilogram sotong sedia untuk dimasak sebelum dibawa ke masjid bagi menjamu jemaah yang hadir.
“Bahkan, kami turut menyajikan beberapa lauk lain seperti sambal sardin, gulai daging dan sayur goreng,” katanya sambil sibuk menumis bahan masakan.
Mencecah ratusan ribu tontonan, rata-rata warganet menyifatkan sikap ditunjukkan Aleeya dan keluarganya itu sesuatu yang jarang berlaku dalam kalangan individu berstatus jutawan.
Masakan tidak, mereka berpendapat bahawa Aleeya semestinya mampu mengupah katerer bagi memesan sebarang menu diingini, namun pasangan berkenaan berbesar hati untuk melakukannya sendiri dari awal hingga akhir.
Bukan itu sahaja, mereka turut memberi sumbangan dalam bentuk barangan asas dan keperluan harian kepada para asnaf dalam kariah masjid tersebut.
Lebih menarik menurut Aleeya, segala bahan masakan dibeli menggunakan duit gift diberikan pengikutnya ketika bersiaran langsung di TikTok dan Facebook.