TULAR sebuah rakaman video di Tiktok, menunjukkan kejadian azan yang didakwa berkumandang pada pukul 2 pagi di sebuah masjid di Pulau Pinang.
Video yang dimuat naik oleh pengguna @asstiee telah meraih lebih 1.5 juta tontonan dan menimbulkan persoalan di kalangan warganet yang tertanya-tanya mengenai kejadian sebenar.
Menerusi rakaman tersebut, pemilik video dan dan beberapa rakannya berada di dalam kenderaan ketika itu secara kebetulan terdengar laungan azan sekitar jam 2 pagi ketika melintasi masjid berkenaan.
Disebabkan merasa pelik dengan hal tersebut, mereka mengambil keputusan untuk meninjau ke dalam masjid bagi merungkai siapakah gerangan ‘individu’ yang berada di dalamnya.
Namun, apa yang berlaku setelah masuk ke dalam masjid, ternyata tiada sesiapa yang berada di situ. Rakaman video turut menunjukkan keadaan ruangan masjid yang kosong, gelap dan sunyi.
Pemilik video membuat andaian kejadian tersebut mungkin berlaku disebabkan imam di masjid berkenaan lupa menutup suis pembesar suara. Dalam pada itu, dia juga berharap agar kejadian tersebut tidak berulang lagi kerana boleh menimbulkan rasa aneh dari orang sekeliling.
Walau bagaimanapun, di ruangan komen, ada warganet yang memberi komen dan spekulasi mengenai kejadian yang berlaku. Selain daripada itu, ada yang mendakwa terdapat kehadiran jin islam kerana pernah mengalami kejadian serupa.