Seorang lelaki di Jepun mendapat perhatian umum apabila kisahnya berkahwin empat, namun tidak bekerja selama 10 tahun.
Kisah Ryuta Watanabe, 35, menjadi tular apabila ianya didokumentasikan menerusi satu rancangan televisyen di Abema TV baru-baru ini.
Apa yang lebih mengejutkan apabila tiga orang daripada empat isterinya tinggal bersamanya di bawah satu bumbung. Setiap daripada mereka memiliki bilik sendiri bersama anak kecil masing-masing.
Namun, isteri keempat Watanabe tinggal berasingan. Keempat-empat isterinya menggalas tanggungjawab untuk bekerja dan menampung keperluan mereka sekeluarga sebanyak 850, 000 yen ( RM 27,353) sebulan manakala Watanabe tidak bekerja dan ditugaskan untuk menguruskan kerja rumah.
Menurut Watanabe yang memiliki tiga orang anak, dia tidak rasa bersalah kerana mengamalkan poligami bahkan ingin mencipta sejarah dengan memiliki 54 orang anak.
“Saya tidak rasa bersalah kerana mengamalkan poligami,” katanya.
Sumber : Kosmo