PETALING JAYA – Seorang lelaki yang juga operator kren meluahkan rasa kecewa dengan tindakan majikannya memberi notis pembuangan kerja angkara dia membuang air besar semasa waktu bekerja.
Dia yang menggunakan akuan Facebook, Edwin Adrin semalam memberitahu, alasan majikannya adalah tidak masuk akal sama sekali dan meminta pandangan orang ramai berkaitan situasi dihadapinya itu.
“Ada sesiapa yang bekerja di Jabatan Buruh boleh tolong jelaskan kepada saya tentang perkara ini. Ada seorang jurutera nak buang saya tanpa sebab. Dia suruh saya berhenti kerja 31 Ogos ini (semalam) kira notis sebulan.
“Tapi mengikut perjanjian dalam syarikat itu, tempoh bekerja yang dinyatakan dalam kontrak adalah setahun. Bermula 12 Jun 2023 sehingga 25 Jun 2024.
“Apabila saya bertanya sebab-sebab saya diberhentikan, alasan yang diberi langsung tidak kukuh. Surat amaran apa semua tidak ada,” luahnya menerusi satu hantaran yang dimuat di Facebook.
Menurut Edwin, sebelum dirinya diberikan notis pembuangan kerja dalam tempoh sebulan pada semalam, dia dan jurutera tersebut yang juga merupakan majikannya sememangnya berlaku salah faham sehingga menimbulkan pergaduhan kecil di antara mereka berdua.
“Sebenarnya pagi tadi (semalam) kami berdua ada selisih faham. Dia marah-marah di tempat kerja kerana saya membuang air besar ketika waktu bekerja.
“Bila saya sudah selesai urusan sebelum itu, dia suruh saya cari kerja lain sebab 31 Ogos (semalam) adalah hari terakhir saya kerja. Saya terus terkedu. Tak tahu apa-apa dan tiba-tiba jadi begini,” kata lelaki asal Sabah itu.
Tambahnya, dia sudah meminta majikan memberikan surat tunjuk sebab bagi membuktikan punca dia diberhentikan, namun katanya pihak syarikat enggan berbuat demikian.
Sumber : Kosmo