Lelaki Meninggal Dunia Akibat Jangkitan Serius Berpunca dari Gigi Berlubang

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

JAKARTA – Sebuah kisah menyayat hati tular baru-baru ini apabila seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan serius yang berpunca daripada masalah gigi berlubang.

Menerusi perkongsian di TikTok, Amanda Prawiria berkongsi pengalaman pilunya apabila suaminya, Mochamad Firmasyah, yang berusia dalam lingkungan 40-an, pergi buat selama-lamanya setelah sekian lama mengabaikan pemeriksaan gigi.

Menurut Amanda, meskipun suaminya kerap mengalami kesakitan, beliau hanya bergantung kepada ubat tahan sakit tanpa mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan semakin merisaukan apabila Firmasyah mula mengalami pembengkakan di pipi, yang hanya ditampalnya dengan koyok, berharap sakitnya akan beransur pulih.

“Seperti biasa, dia tetap pergi bekerja, tetapi kemudian dia mengadu bahawa lehernya semakin membengkak. Dia sempat mengirimkan gambar kepada saya dan menganggap ia hanyalah sakit gigi biasa, sebab itu dia hanya menampal pipinya dengan koyok,” cerita Amanda.

Namun, keadaan menjadi semakin parah apabila bengkak tersebut mula merebak sehingga menyukarkannya untuk makan dan bernafas. Gelisah melihat suaminya dalam kesakitan yang semakin memburuk, Amanda segera membawa Firmasyah ke wad kecemasan.

Malangnya, selepas menerima rawatan neb, mereka diminta pulang tanpa sebarang pemeriksaan lanjut terhadap punca sebenar masalah yang dialami.

Tidak lama selepas itu, keadaan Firmasyah terus merosot sehingga menyebabkannya sukar untuk makan dan tidur. Bimbang akan keadaannya, Amanda segera membawa suaminya semula ke hospital. Kali ini, beliau menjelaskan tentang masalah gigi berlubang yang dialami suaminya, dan hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan yang mengejutkan.

Doktor mengesahkan bahawa jangkitan yang berpunca daripada gigi berlubang itu telah merebak ke bahagian leher dan bahunya. Pemeriksaan lebih mendalam mendapati terdapat nanah yang sudah menjalar ke beberapa bahagian tubuhnya, menyebabkan pihak hospital segera menempatkannya di unit rawatan rapi (ICU) untuk menjalani pembedahan kecemasan.

“Doktor memberitahu bahawa terdapat nanah yang sudah merebak dan pembedahan segera diperlukan. Setelah menjalani X-ray gigi dan paru-paru, mereka mendapati pembengkakan tersebut bukan sekadar keradangan biasa tetapi berpunca daripada jangkitan nanah yang telah merebak ke leher dan bahu,” jelas Amanda.

Meskipun telah menjalani pembedahan, keadaan Firmasyah terus merosot. Dua hari selepas prosedur tersebut, beliau terpaksa ditidurkan sebelum akhirnya koma dan menghembuskan nafas terakhir.

Pakar Gigi: Jangan Pandang Remeh Kesihatan Gigi

Kisah tragis ini turut mendapat perhatian pakar pergigian yang menekankan betapa pentingnya menjaga kesihatan gigi dan tidak memandang remeh sebarang masalah yang timbul.

Pakar Pergigian Doktor Ahmar Ahbiat Amirrudin

Menurut Pakar Doktor Gigi Amar Afbiat Amirudin dari Klinik Pergigian Impian di Melaka, masyarakat perlu lebih peka terhadap kesihatan gigi kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan saraf dan sistem tubuh yang lain.

“Pesakit dan orang terdekatnya perlu peka terhadap sakit gigi yang serius, kerana terdapat banyak saraf yang melekat pada gigi. Jika berlaku jangkitan, ia boleh merebak ke saraf lain, malah lebih membimbangkan, ia juga boleh menjangkiti darah dan menyebabkan komplikasi yang lebih serius,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa individu yang mengalami gigi berlubang perlu segera mendapatkan pemeriksaan di klinik pergigian bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan yang boleh merebak ke bahagian lain.

“Kesedaran mengenai kebersihan oral sangat penting. Jangan tunggu sehingga kesakitan menjadi teruk baru mahu ke klinik. Kita perlu memberi penekanan kepada kepentingan menjaga kesihatan gigi sebagai langkah pencegahan awal,” tambahnya.

Kesihatan Gigi: Jangan Ambil Mudah

Kisah ini menjadi peringatan penting kepada kita semua tentang kepentingan menjaga kesihatan gigi dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami sebarang gejala yang mencurigakan. Pesakit juga perlu berusaha memberikan maklumat lengkap mengenai punca kesakitan mereka agar pihak perubatan dapat mengenal pasti dan menangani masalah dengan lebih tepat.

Kesihatan gigi bukan sekadar soal estetika, tetapi juga berkait rapat dengan kesejahteraan keseluruhan tubuh badan. Jangan sesekali mengabaikan isyarat yang diberikan oleh tubuh, kerana sesuatu yang nampak remeh mungkin membawa akibat yang sangat besar.

Oleh: Roomnone