SEORANG lelaki di Australia tidak menyangka dapat menemui kembali dompetnya yang hilang sejak lebih 25 tahun lalu, lapor Harian Metro.
Memetik laporan asal portal 7NEWS.com.au, dompet berkenaan ditemui Joseph Bewes ketika berjalan di sebuah pantai di Lennox Head, New South Wales, minggu ini.
Dia kemudiannya, merakam gambar kandungan dompet itu sebelum membuat hantaran di sebuah laman komuniti bagi mencari pemiliknya, Paul Davis.
“Paul G Davis. Jumpa dompet awak di pantai. Maaf, semua kad awak sudah tamat tarikh pada 1995, tetapi 5 dolar Australia (RM15) masih dalam keadaan baik.
“Awak baru saja membeli kopi dari 25 tahun lalu,” tulisnya dalam hantaran terbabit.
Perkongsian Bewes itu menarik perhatian ramai yang meninggalkan banyak komen sebelum pemilik sebenar ditemui.
“Pemiliknya sudah ditemui! Saya mengesahkan dompet itu milik sepupu suami saya. Hilang pada malam tahun baharu pada 1994,” komen Jodie Roberts.
Bercakap kepada 7NEWS.com.au, wanita itu berkata, Paul tidak percaya apabila dia mengirimkan tangkap layar dompet itu, namun lelaki itu masih mengenali dompetnya dengan baik.
“Paul terus mengingati dompetnya yang hilang itu. Wang dolar itu masih baik walaupun macam ada kesan terbakar sedikit.
“Paul mengambil dompetnya pada petang Jumaat,” katanya.
Sumber: Harian Metro