SEBUAH video tular di media sosial Thailand memaparkan pergaduhan seorang petinju wanita yang berang disimbah bir oleh seorang lelaki kerana enggan minum dengannya.
Pergaduhan di tepi jalan itu dirakam oleh kamera dan video tersebut tular sejak beberapa hari lalu, lapor Kosmo
Pareploy Saeaia, 24, menyiarkan video itu di laman Facebooknya dan menulis bahawa dia sedang makan malam di daerah Huai Kwang, Bangkok ketika kejadian berlaku.
Seorang lelaki bertindak menghampirinya dan meminta untuk melagakan gelas tetapi wanita itu menolak.
Beberapa minit kemudian, lelaki itu datang lalu menyimbah bir ke seluruh badan Pareploy semasa dia sedang makan lalu pergaduhan bermula di tepi jalan.
“Jika ini berlaku kepada wanita lain, mereka mungkin memilih untuk tidak bertindak balas. Lelaki itu memilih orang yang salah kerana saya seorang petinju,’’ tulis Pareploy.
Aduan telah difailkan terhadap lelaki terbabit kepada polis Huai Kwang, tambahnya.
Menerusi video yang tular itu, Pareploy dilihat menumbuk dan menendang lelaki itu serta menyumpahnya. Walaupun lelaki itu tidak melawan, dia tidak meminta maaf atas perbuatannya.
Semalam, kedua-duanya menyelesaikan kes itu di balai polis dengan permohonan maaf dan membayar denda sebanyak 1,000 baht (RM127.19) setiap seorang.
Menurut laporan media, Pareploy menjadi petinju profesional muay Thai sejak usia muda. Wanita itu turut memenangi beberapa pingat di peringkat kebangsaan sejak 2013.
Dia kini bekerja sebagai jurulatih tinju. Disebabkan kejadian tersebut, lelaki itu dipecat daripada bekerja di sebuah hotel.
Sumber: Kosmo