Lagu raya ajak orang main judi, ramai kesal kerana tidak hirau sensitiviti umat Islam

TULAR sebuah iklan yang mempromosi aktiviti judi yang menggunakan lagu hari raya Aidilfitri sebagai muzik latar.

Video iklan yang dikeluarkan oleh syarikat judi GDBet333 yang berdurasi dua minit itu telah mengundang kecaman netizen kerana ia terlalu melampau dan menyinggung sensitiviti umat Islam.

Jelas di dalam iklan tersebut mengajak orang ramai meraih wang berganda dengan menggunakan perkhidmatan syarikat mereka bagi mencari dana untuk berhari raya.

Untuk pengetahuan, video iklan tersebut dimuat naik hampir seminggu lalu di YouTube. Namun, ia sudah dipadamkan kerana melanggar garis panduan komuniti YouTube.

https://youtube.com/watch?v=S_cCOc5n4_Y

Susulan itu, ia juga menarik perhatian pendakwah bebas PU Amin yang berpandangan bahawa ia adalah perkara yang dilarang kerana judi adalah haram dalam Islam walaupun ia dilakukan secara gurau atau tidak.

Beliau juga berkata, pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan segera dalam membendung promosi seumpama itu yang boleh menggalakkan aktiviti perjudian.

Sementara itu, penceramah bebas PU Azman pula berkata, penyiaran video iklan tersebut menimbulkan kebimbangan dan niat dalam penyampaiannya tidak menghalalkan cara.

Beliau juga meluahkan perasaan risau jika ia akan menjadikan ini sebagai tiket untuk orang menjadikan hal ini sebagai satu normalisasi ke arah perkara yang haram.