KRU dan Icon Entertainment sekali lagi memecahkan tradisi industri hiburan tanah air apabila mengumumkan konsert hari ke-4 hanya dalam waktu 4 hari sebelum konsert berlangsung.
Kebiasaannya, penganjur dan artis memerlukan waktu beberapa bulan untuk mengumumkan tarikh dan penjualan tiket konsert. Namun, tradisi ini tidak berlaku bagi Icon Entertainment & KRU. Hanya dalam 4 hari sahaja, mereka berjaya memenuhi setiap sudut Axiata Arena dengan ribuan peminat setia.
KRU mencetuskan fenomena baharu yang melanda Kuala Lumpur. Ramai penonton hadir lebih daripada sekali, memecahkan rekod kehadiran yang sebelum ini dipegang oleh artis antarabangsa dan juga arti Indonesia yang pernah mengadakan konsert di Axiata Arena.
Persembahan Istimewa: Feminin Kembali ke Pentas!
Keistimewaan konsert malam ke-4 ini adalah kemunculan kumpulan legenda wanita tanah air, Feminin! Ini merupakan satu usaha besar yang sangat dihargai oleh peminat muzik Malaysia. Icon Entertainment berjaya memujuk Feminin untuk kembali ke pentas selepas sekian lama menyepi, menjadikan konsert ini bukan sahaja sebagai perayaan 30 tahun KRU, tetapi juga sebagai penghargaan kepada peminat yang merindui suara dan kehebatan kumpulan tersebut.
Menghidupkan kembali nostalgia era 90-an, kehadiran Feminin di konsert malam ke-4 ini membawa makna yang cukup besar. Ia bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi simbol persahabatan dan kekuatan karya muzik tempatan. Peminat dapat menikmati semula lagu-lagu hits Feminin yang pernah menguasai carta muzik tanah air, sekaligus mengubati kerinduan mereka terhadap kumpulan ikonik ini.
Mengangkat Martabat Artis Tempatan
Terdahulu, Dewa 19 berjaya mengadakan konsert dua malam berturut-turut di Axiata Arena, yang juga dianjurkan oleh Icon Entertainment. Kejayaan konsert KRU ini sekali lagi membuktikan formula Iman Tang, peneraju Icon Entertainment, yang berjaya mengangkat martabat artis tempatan ke peringkat antarabangsa.
Konsert malam ke-4 ini bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan KRU sebagai legenda muzik Malaysia tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh peminat yang tidak pernah berhenti menyokong industri muzik tanah air. Jangan lepaskan peluang menyaksikan sejarah ini!