BARU-BARU ini, meninjau ke laman Twitter, dapat dilihat ‘total lockdown’ mula trending sejak malam hingga pagi tadi. Ramai di antara pengguna Twitter meluahkan rasa khuatir dan bersetuju jika pihak berkuasa mengambil tindakan dengan melakukan ‘total lockdown’ dengan kadar segera.
Ini berikutan statistik kes Covid-19 semakin membimbangkan terutamanya di negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Angka 4 digit ini dijangka akan terus meningkat dari masa ke semasa jika ada beberapa pihak tidak bertanggungjawab gagal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ura-ura ini telah lama dikhabarkan, namun kemungkinannya untuk terjadi semakin jelas dan perlu kerana keadaan negara yang semakin membimbangkan.
Sehubungan itu, warganet juga turut membalas ciapan KKM di laman Twitter rasmi agar pihak mereka dapat menimbangkan semula perkara ini. KKM kemudian dilihat membalas komen-komen tersebut dengan ‘mention’ MKN.
Perkara ini menarik perhatian dan mula tular, walau bagaimanapun terdapat beberapa perdebatan ramai pihak. Ada yang berfikiran lebih logik dengan memberikan fakta bahawa tugas KKM adalah menimbang data kesihatan dan memberikan nasihat buat negara bukannya melaraskan ‘lockdown buat negara.
KKM kemudian membuat penjelasan bahawa tindakan mereka berbuat sedemikian adalah supaya perkara ini dapat diketengahkan dalam mesyuarat seterusnya dan mereka dapat mencari jalan penyelesaian bersama.
Walaupun rata-rata rakyat berharap agar ‘total lockdown’ ini dijalankan, ada juga yang membantah dan tidak bersetuju ianya dijalankan atas sebab tersendiri. Perbincangan antara pihak atasan dan keputusan rasmi masih belum dikeluarkan. Apa pun, diharapkan masa yang diambil untuk membuat keputusan tidak terlalu lama kerana isu ini merupakan isu yang perlu segera diselesaikan.
Sementara menunggu kata putus dari pihak berkuasa, orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP, memakai pelitup muka serta sanitasi perlu terus diamalkan agar rantaian Covid-19 dapat terputus. Kita juga sedia maklum, tiada petanda jelas bahawa seseorang itu bakal atau sudah dijangkiti, jadi teruskan kehidupan norma baharu dan sentiasa jaga kesihatan walau di mana jua kita berada.