PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak lelaki sanggup menggunakan duit simpanan sendiri untuk membeli permainan demi menggembirakan adik-adiknya.
Perkara itu dikongsi @asy_leh di TikTok dan pemilik akaun itu berkata, anak lelakinya itu mengumpul duit daripada lebihan wang saku persekolahan.
“Dia pujuk ayah pergi kedai, nak beli barang katanya. Rupa-rupanya nak belikan mainan untuk adik-adik perempuannya.
“Bayar pakai duit yang dia simpan daripada lebihan duit belanja sekolah. Saya biarkan saja untuk dia belajar sesuatu,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tambahnya, dia juga berharap anak lelakinya itu terus bersemangat untuk berbuat baik dengan kepada adik-beradik yang lain.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memuji tindakan murni budak lelaki itu.
“Abang yang bertanggungjawab, kecil-kecil lagi sudah menyimpan duit dan sanggup belikan adik mainan,” kata Yana Zafrania.
“Anak yang bagus nilai murninya. Teruskan, semoga kasih sayang berkekalan,” komen Amy Suziro.
Sumber : Kosmo