SIASATAN terperinci akan dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) terhadap dakwaan sebuah kedai menjual nasi ayam yang mengambil bekalan bahan masakan daripada sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong seperti yang tular sejak Isnin.
Jurucakap JHEAINPP berkata, pihaknya akan membuat semakan terperinci pada Selasa berhubung dakwaan tersebut, lapor Astro AWANI.
Menurutnya, semakan telah dibuat semalam, namun perlu dilakukan semula berhubung dakwaan terhadap kedai makan tersebut.
“Kita sudah jalankan siasatan pada Isnin, namun akan menjalankannya dengan lebih terperinci hari ini.
“Siasatan pada hari ini juga akan dijalankan bersama agensi lain. Kita akan maklumkan kemudian mengenai siasatan yang dijalankan pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Terdahulu, satu video berdurasi 2 minit 38 saat tular di laman Facebook memaparkan dua lelaki dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dengan meninggalkan alatan berniaga.
Rakaman kejadian menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang Muslim terutamanya pelanggan yang pernah membeli juadah nasi ayam di kedai terbabit.
Tambahan lagi selepas beberapa individu turut mendedahkan restoran terbabit turut menghidangkan juadah daging babi.
Bagaimanapun, satu video penjelasan telah dimuat naik seorang wanita bersama beberapa rakannya menafikan dakwaan mereka mengambil bekalan daripada restoran tersebut.
Dia turut menjelaskan bahawa mereka memasak makanan itu sendiri di sebuah premis di kompleks membeli-belah.
Wanita itu turut menegaskan mereka sudah menutup operasi perniagaan mereka sejak isu tersebut menjadi tular.
Namun begitu, hasil tinjauan The News, wanita itu telah memadam video penjelasan tersebut daripada laman sosialnya.
Sumber: Astro AWANI