SEORANG wanita baru-baru ini menyerbu majlis perkahwinan suaminya di Chat Nai, Muang, Kanchanaburi, Thailand dan membuktikan bahawa mereka masih belum bercerai, lapor Kosmo!
Memetik laporan asal akhbar The Phuket News, memburukkan lagi keadaan, ibu mentua wanita itu yang turut hadir menemani menantunya telah menolak dan menampar wajah pengantin lelaki ketika dia dan isteri baharunya sedang menerima restu sami.
Wanita berusia 33 tahun itu berkata, dia menyedari tentang hubungan sulit suaminya yang merupakan seorang anggota polis sejak setahun lalu namun tidak menyangka mereka akan berkahwin.
“Saya pada mulanya tidak sangka mereka akan berkahwin. Sebelum majlis itu, dia masih tinggal di rumah bersama-sama dan memberitahu dia akan bekerja pada waktu malam.
“Saya turut memberi amaran kepadanya agar tidak berkahwin,” katanya.
Menurutnya, pada keesokan harinya, dia pergi ke rumah wanita berkenaan setelah mendapat tahu suaminya akan berkahwin.
Wanita itu memuat naik video di laman Facebooknya beberapa jam selepas pulang dari majlis perkahwinan tersebut.
Menerusi rakaman video itu, suaminya didengari berkata: “Tinggalkan majlis ini. Awak bukan tetamu rumah ini. Tolong pergi.”
Media Thailand turut melaporkan bahawa lelaki tersebut bakal disiasat pegawai atasannya kerana dia masih belum bercerai dengan isterinya.
Sumber: Kosmo!