Isteri larang suami beli kopi wanita seksi – “Jual kopi ke jual maruah?”

NAK jual kopi ke nak jual maruah diri? Gelagat seorang penjual kopi wanita yang berpakaian seksi di Pulau Bali di Indonesia yang viral di media sosial beberapa hari lalu mengundang rasa kurang selesa dalam kalangan isteri apabila suami mereka dikatakan kerap berkunjung ke gerai berkenaan semasa keluar memancing ikan di lokasi sama, lapor Kosmo!

Satu imej tangkap layar mesej perbualan WhatsApp yang viral antara seorang isteri kepada suaminya dimuat naik di Instagram @sekehedemenbali mendedahkan lelaki berkenaan telah diberi amaran keras supaya tidak membeli minuman kopi daripada wanita seksi itu.

Memetik laporan asal portal Suara.com kelmarin, penghantar mesej dengan nama Mama mengirim mesej gambar kombinasi penjual kopi seksi itu beserta amaran keras kepada suami sendiri.

“Jangan cuba singgah ke sini kalau keluar pergi memancing,” tulis isterinya.

Mesej itu dibalas dengan nada bergurau oleh suami hingga menimbulkan rasa marah isteri.

Status tersebut mengundang banyak komen dengan netizen setempat yang meluahkan rasa simpati terhadap golongan suami yang dihalang daripada memancing berhampiran Pulau Bali.

“Kasihan mereka. Mungkin para suami tidak lagi diizinkan untuk keluar memancing di situ selepas ini,” komen seorang netizen.

Terdahulu, kisah wanita penjual kopi seksi di Pulau Bali viral di media sosial gara-gara memakai skirt mini berwarna merah dan baju T kelabu ketika menghidangkan kopi kepada para pelanggannya.

Wanita itu dilaporkan menunggang sebuah skuter berwarna merah yang diubah suai pada bahagian belakang sebagai gerai minuman dan menjalankan perniagaan di tepi sebatang jalan.

Sejak berniaga di situ, rata-rata pelanggannya dikatakan golongan pemancing yang lazimnya berkumpul di situ.

Sumber: Kosmo!