SEORANG suami menangis ketika menggoncang isterinya di luar sebuah hospital di wilayah Hubei, China kerana tertekan akibat masalah kewangan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Berdasarkan gambar yang tular di media sosial China, wanita hamil itu pengsan selepas si suami menggoncang badannya sambil menjerit.
Pasangan itu dikatakan berkahwin baru-baru ini. Lelaki itu membawa isterinya yang tidak sihat ke hospital di mana wanita itu disahkan hamil, lapor Kosmo!
Khabar gembira itu bertukar duka kerana pasangan itu tidak mampu menyara anak berikutan masalah kewangan.
Wanita berkenaan dikatakan menganggur dan hanya bergantung kepada pendapatan suaminya sebanyak 5,120 yuan (RM3,288) sebulan.
Selepas menerima berita kehamilan itu, lelaki tersebut beremosi apabila mengira perbelanjaan mereka di masa hadapan.
Lelaki itu kecewa apabila teringat bahawa isterinya baru-baru ini membeli set kosmetik mahal berharga 3,800 yuan (RM2,439).
Dia buntu kerana perlu membayar pinjaman kereta dan elaun bulanan yang diberikan kepada isterinya sebanyak 5,000 yuan (RM3,209).
Disebabkan enggan kehilangan anak dalam kandungan, satu-satunya perkara yang boleh dilakukan untuk melepaskan kemarahan adalah dengan menggoncang badan isterinya.
Dia juga gagal menahan air mata dan menangis di atas lantai hospital.
Sumber gambar & laporan – Kosmo Digital