ANGKARA kucing hitam… Seorang lelaki berdepan detik duka apabila kehilangan isteri dan seorang anak berusia 3 tahun selepas kenderaan dipandunya terbabas di Desa Air Dingin, Sumatera Selatan, Indonesia, lapor portal Mekanika.
Dalam kejadian pada pagi 31 Januari itu, seorang lagi anak mangsa yang berusia 7 tahun melecur manakala sebanyak tujuh rumah turut terbakar.
Insiden malang itu berlaku apabila kenderaan dipandu Yudi Prayanto, 36, yang membawa bekalan daging terbabas didakwa cuba mengelak kucing hitam sedang melintas jalan raya.
Memetik laporan asal portal Tribunnews, seekor kucing secara tiba-tiba melintas di jalan yang dilalui Yudi sekali gus memaksa dia memusingkan stereng sehingga hilang kawalan lalu merempuh sebuah kios minyak berhampiran kawasan itu.
Lelaki tersebut bersama salah seorang anaknya dilaporkan berjaya keluar daripada kabin kenderaan.
Bagaimanapun, isteri dan seorang lagi anaknya yang berusia 3 tahun terperangkap dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sebanyak tujuh buah rumah di kawasan berhampiran turut disambar api yang mulai marak daripada kemalangan tersebut.
Yudi melecur di bahagian kaki, tangan dan kepala manakala anaknya pula hampir 60 peratus melecur di seluruh tubuh badan.
Kedua mangsa menerima rawatan di hospital berhampiran tempat kejadian.
Sumber: Mekanika