‘Influencer’ Media Sosial, Mek Yun Dakwa Diekori Lelaki Tidak Dikenali Ketika Di Pusat Beli-Belah

PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Wee Yun Nee atau lebih dikenali sebagai Mek Yun diekori seorang lelaki dipercayai warga asing sewaktu berjalan bersama ibunya di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Kejadian itu dimuat naik gadis yang fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan itu menerusi TikTok sekali gus menerima maklum balas daripada pengikutnya khususnya wanita yang pernah berdepan pengalaman sama.

“Sekarang ni mok (panggilan ibu) dengan Mek Yun tengah jalan, ada lelaki menakutkan ni ikut kami. Kita dah jalan tiga kedai, dia masuk semua kedai dan acah-acah macam tengok barang.

“Mek Yun hampir nak berdepan dengan dia, nak rekod (kamera) tapi dia terus blah (pergi). Hati-hati wanita, kalau korang kena macam ni apa perlu buat ialah masuk ke kedai paling dekat dan bagitahu staff ada lelaki ikut.

“Kalau nampak security guard, terus bagitahu. Jangan jalan seorang diri terutama ke tempat letak kereta,” katanya pada video dimuat naik semalam.

Sementara itu dalam keterangan video tersebut, Mek Yun memberitahu, ia kali kedua dia bersama ibunya diekori lelaki dipercayai warga asing, malah ketika berjalan seorang diri, dia pernah lima kali berdepan pengalaman sama,

Menjengah ke ruangan komen, pengikutnya dalam kalangan wanita turut menasihatinya supaya berhati-hati selain ada bercerita pernah diekori lelaki tidak dikenali.

“Saya pernah kena. Saya perasan ada lelaki ini ikut saya sebab bila saya masuk satu kedai, mesti ada lelaki ni tunggu di luar. Tapi saya fikir positif mungkin dia tunggu partner dia, tapi saya sedar bila masuk satu kedai tu, saya seorang saja ada. Dia ada di depan dan nasib baik ada dua laluan keluar. Sumpah menakutkan,” kata seorang pengguna TikTok.

“Pernah kena masa pergi pasar raya, mana-mana dia ada. Masa tu tak berani nak pergi kereta, buat-buat bayar lambat dan lepas tu dah tak nampak. Gila menakutkan,” komen pengguna yang lain.

“Ya pernah jadi dekat saya dan kawan. Dia ikut setiap kedai yang kami masuk, akhirnya masuk kedai cermin mata dan bagitahu staff di situ perlu bantuan,” cerita seorang lagi gadis.

Sumber : Kosmo