“SAYA masih waras dan belum hilang akal untuk berpakaian wanita di dalam program televisyen yang disiarkan secara langsung.
“Namun, saya mohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung selepas menonton video berkenaan. Semua itu hanya salah faham,” kata personaliti media sosial, Nizam Rahman, lapor Harian Metro.
Nizam, 30, membuat permohonan maaf itu susulan video viral di laman sosial yang menunjukkannya memakai baju kurung ketika berada di luar bangunan sebuah stesen televisyen.
Kekecohan berlaku apabila kehadiran Nizam itu tidak disenangi dua lelaki yang menegurnya sebelum mengeluarkan kata-kata kesat kerana hadir berpakaian wanita.
Menjelaskan situasi sebenar, Nizam berkata, selesai menjalani sesi fotografi produk pada 6 pagi semalam, dia terus bergegas ke stesen televisyen berkenaan.
Menurut Nizam, kehadirannya ke stesen televisyen itu adalah untuk mempromosikan sebuah produk dalam satu slot keusahawanan.
“Untuk pengetahuan semua, pakaian wanita itu dipakai ketika sesi fotografi yang menuntut saya membawa karakter wanita dan memang merancang untuk menukarnya (pakaian) sebaik tiba di stesen televisyen itu.
“Malah, rakan saya yang membantu membawakan pakaian akan dipakai ketika slot dalam program itu, namun sebaliknya berlaku apabila saya ditegur dua pemuda tidak dikenali dengan bahasa kasar sebaik memasuki bangunan stesen televisyen berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Nizam, dia terbuka menerima teguran seandainya disampaikan dengan cara yang betul.
Malah, Nizam berkata, dia masih tahu batasan dan akur dengan peraturan, etika penyiaran dan tatacara pakaian untuk tampil dalam mana-mana program di stesen televisyen.
“Saya masih tahu peraturan dan adab, malah mungkin ramai tidak tahu saya pernah menjalani latihan industri di sebuah stesen televisyen swasta.
“Kalau stesen TV (televisyen) lain pun melarang tampil berpakaian menyerupai wanita, apa lagi stesen yang berunsurkan Islamik.
“Jadi, saya tidak akan melanggar peraturan itu, lagipun kehadiran saya ke situ hanya untuk mempromosikan produk malah saya memakai baju Melayu ketika siaran langsung berkenaan,” katanya.
Sumber: Harian Metro