BUKAN mudah untuk melihat kaum hawa berkecimpung dalam bidang yang didominasi lelaki, lapor mStar.
Namun kerana minat yang mendalam terhadap dunia penerbangan, perkara itu langsung tidak menjadi halangan buat Shifa Adelia Mumtaz.
Menurut gadis berusia 20 tahun itu, dia kini dalam proses untuk mengambil lesen penerbangan komersial di Florida Flyers Flight Academy, St Augustine, Florida, Amerika Syarikat.
Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Shifa percaya sesiapa sahaja boleh mengejar impian jika mempunyai minat dan kesungguhan.
“Di sekolah penerbangan ini pun majoritinya pelajar lelaki. Hanya ada beberapa perempuan termasuk saya. Semua tenaga pengajar pun lelaki.
“Pada awalnya saya rasa takut, terfikir sekiranya saya mampu jadi sebagus mereka. Dan ia biasanya dilihat sebagai kerjaya untuk lelaki.
“Tetapi sekarang saya rasa tugas menerbangkan pesawat adalah sesuatu yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
“Tak kisah lelaki atau perempuan. Jika ramai wanita di luar sana boleh buat, kenapa tidak saya?” ujarnya.
Menurut gadis dari Putrajaya itu, dia yang sebelum ini sudah memiliki lesen penerbangan peribadi tidak menyangka foto yang dikongsi di Twitter miliknya menjadi viral.
Dalam posting itu, Shifa berkongsi dua foto yang dirakam sewaktu penerbangan solo pertama serta foto terbaharu sewaktu meraikan 230 jam penerbangan yang sudah dilengkapkannya.
Malah, dia kelihatan cukup manis mengenakan tudung berwarna hitam dalam kedua-dua foto tersebut.
“Sejujurnya saya kongsi secara suka-suka dan tak jangka akan meraih perhatian ramai. Sebelum ni pun pernah kongsi gambar tengah terbangkan pesawat.
“Nampaknya ramai yang suka dan saya rasa, kenapa tidak untuk kongsi di Twitter? Saya pun ada kongsi di Instagram.
“Sebenarnya dah lama minat nak jadi pilot, dari dulu lagi. Ayah saya pun pilot dan saya lihat kerjayanya sangat menarik. Jadi saya nak ikut jejak langkah dia,” kata Shifa lagi.
Dalam pada itu, Shifa turut menitipkan pesanan khususnya kepada anak muda yang mempunyai sebarang keraguan dalam mengejar impian mereka.
Ujarnya, dia percaya sesiapa sahaja mempunyai kebolehan untuk menggapai cita-cita dengan meneruskan perjuangan tanpa putus asa.
“Nasihat saya, kejarlah impian itu. Ia tidaklah sukar seperti yang kita rasa. Saya percaya sesiapa sahaja mampu melakukannya.
“Kita memerlukan lebih ramai wanita dalam bidang penerbangan. Sekarang saya masih belum bersedia 100 peratus, tapi harap masanya akan tiba.
“Dengan lebih masa dan pengalaman, saya akan lebih bersedia dan yakin. Lagi banyak masa saya terbangkan pesawat, makin yakin saya selepas ini,” ujarnya yang berhasrat untuk bekerja di tanah air.
Di Twitter, posting Shifa menerima lebih 4,100 ulang kicau (retweet).
Sumber: mStar