TIADA syarikat atau jenama yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan jenama besar seperti Ikea juga berhadapan dengan perkara ini. Apa akan jadi sekiranya anda tersilap cetak beg yang telah dihasilkan dalam kuantiti yang banyak?
Mengikut logik bisnes, beg tersebut tidak akan dijual di pasaran dan pengilang perlu menghasilkannya semula. Tetapi tidak bagi Ikea Singapura yang merasakan ia satu pembaziran jika dibuang.
“Di Ikea, ia OK untuk buat kesilapan. Kami tersalah cetak alamat laman web kami (sepatutnya www.ikea.com.sg dan bukannya www.ikea.co.sg) pada beg re-useable KLAMBY kami. Disebabkan tujuan utama beg ini adalah re-useable, kami tidak akan buangnya. Ia limited edition dan tidak akan dijual lagi selepas ini!” tulis Ikea pada penerangan beg KLAMBY di cawangan Ikea Singapura.
Beg ini mula viral apabila pengguna Facebook bernama Alicia Cho berkongsi tentangnya di sebuah group yang merasa pelik bagaimana kesilapan seperti itu boleh terjadi. Namun, rata-rata bersetuju Ikea menangani kesilapan itu dengan cara yang sangat profesional.
Tambah lucu apabila pihak Ikea Singapura turut menambah perkataan ‘Alamak’ pada penerangan beg tersebut di showroom mereka. Beg tersebut turut dijual secara dalam talian ketika ini.
Pengajarannya? Sentiasa semak hasil kerja kita dan kadangkala ada kesalahan yang boleh ‘dimaafkan’. Dalam kes ini, Ikea Singapura bijak menukarnya menjadi satu produk yang unik.
Sumber: vocket