SIAPA sangka buah tempatan Malaysia iaitu durian Musang King turut mendapat permintaan tinggi di negara jiran, Indonesia yang sanggup membelinya dengan harga tidak masuk akal, lapor Kosmo!
Memetik laporan asal stesen penyiaran CNN Indonesia, baru-baru ini, terdapat dua wanita di Jakarta yang membeli raja buah itu pada harga mencecah 7 juta rupiah (RM2,009) hanya untuk dua biji Musang King.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok @siscakohl, dia membeli durian itu di sebuah pasar raya di Jakarta Pusat.
“Saya akan melakukan reviu tentang rasa Musang King yang berharga 7 juta rupiah yang baru dibeli di pasar raya.
“Saya memanggang isinya dan meletakkan lapisan emas yang boleh dimakan, sesuai dengan harganya,” tulis pemilik akaun itu.
Harga tepuk dahi itu mengundang reaksi terkejut netizen ekoran kesanggupan wanita itu berhabis demi Musang King.
“Kalau daging lembu berharga 35,000 rupiah (RM10) pun saya mengambil masa sejam untuk berfikir mahu beli atau tidak,” kata seorang netizen.
“Mungkin jika saya sedang bermimpi sekalipun, tidak akan habis fikir bayar 7 juta rupiah untuk dua biji durian,” balas seorang lagi.
Sumber: Kosmo!