KUSANGKA telefon bimbit, rupanya batu! Itulah nasib yang dialami seorang gadis apabila mendakwa ditipu penjual dalam talian apabila dia menerima bungkusan telefon bimbit yang diisi dengan beberapa ketul batu selepas membelinya pada harga 2.5 juta rupiah (RM730).
Menerusi ciapannya di laman Twitter dengan nama @aftertandakoma, dia berkongsikan rakaman video membuka bungkusan telefon bimbit yang dibeli menggunakan platform beli-belah dalam talian terkenal.
Namun dirinya hampa apabila mendapati terdapat ketulan batu dalam kotak telefon bimbit tersebut.
Perkara itu menyebabkan dia mengalami kerugian berjumlah 2.5 juta rupiah (RM730).
“Helo @ShopeeID @sicepat_ekspres. Saya ditipu. Kerugian 2.5 juta rupiah,” tulisnya.
Dia itu kemudiannya menghubungi penyedia platform beli-bela tersebut bagi menjelaskan situasi yang dialami.
Bagaimanapun, penjual dalam platform tersebut menjelaskan bahawa mereka telah mengirim produk seperti yang dipesan gadis berkenaan dan tidak melakukan sebarang penipuan.
Menurut peniaga itu lagi, insiden tersebut berkemungkinan dilakukan oleh pihak kurier yang tidak bertanggungjawab.
“Kami tidak tahu. Mungkin yang bersalah dalam hal ini adalah pihak kurier. Kalau kami menipu, tidak mungkin kami boleh menjual banyak unit telefon bimbit dan kesemua produk yang kami jual adalah produk asli,” jawab penjual tersebut.
Bagaimanapun melalui ciapan terbaharu gadis itu beberapa jam lalu, dia menjelaskan isu tersebut telah dianggap selesai selepas dia menerima semula wang ganti rugi.
Dia juga mengucapkan rasa lega apabila penyedia platform serta penjual terbabit telah melakukan siasatan segera dan memberi maklum balas dengan pantas.
“Hai semua, ciapan sebelum ini sudah dipadam kerana semua masalah telah selesai.
“Terima kasih buat semua pihak yang pantas mengambil tindakan sekaligus memulangkan kembali kerugian yang dialami, tulisnya lagi.