TIDAK dinafikan, setiap wanita sudah pastinya mengimpikan wajah yang cantik. Dengan paras rupa menawan, secara tidak langsung akan menambah keyakinan diri seseorang untuk tampil di khalayak ramai, lapor portal Oh My Media.
Bagaimanapun, malang buat seorang wanita ini apabila menjadi mangsa buli dan teguran netizen yang disifatkan agak biadab.
Menerusi tangkapan skrin dikongsi @Hadyna_ di laman Twitter, wanita tersebut menerima kecaman di ruangan komen sewaktu membuat ‘Live’ solekan di akaun TikTok.
Meskipun kecaman yang diberikan itu agak keterluan namun, wanita itu tetap meneruskan ‘Live’ tersebut tanpa menghiraukan sebarang komen yang mampu menjatuhkan semangat dirinya.
Malah, terdapat juga netizen menuduh dia mempunyai masalah mental apabila wanita itu mula berang dengan kata-kata yang menyakitkan hati daripada warganet.
Namun, seorang individu tampil memohon maaf kerana dipercayai adiknya turut memberi komen yang agak biadab terhadap wanita berkenaan.
Meninjau ke ruangan komen di Twitter, wanita tersebut menyatakan dirinya sudahpun memaafkan orang-orang yang melontarkan komen negatif mengenai dirinya.
Tambahnya lagi, meskipun sering terasa dan sakit hati namun dia tidak pernah menyimpan di dalam hatinya.
“Jangan sampai buat hati orang terluka or terasa, I dah maafkan orang yang dok kecam-kecam I. TQ dear,” ciap wanita itu.
Rata-rata netizen juga memberi kata-kata semangat dan memuji wanita itu memiliki kecantikan tersendiri yang harus dibanggakan.
Budaya menghina fizikal orang lain perlu dihentikan. Nilai budi pekerti juga harus diterapkan apabila berkomunikasi dalam media sosial walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.
Sumber: Oh My Media