Ejek kawan punca pergaduhan di SMK Sungai Pelek

RAKAMAN pergaduhan yang tular membabitkan pelajar SMK Sungai Pelek sejak semalam adalah berpunca daripada insiden ejek mengejek.

Insiden kekecohan yang tular di media sosial itu dikatakan berlaku pada jam 10.30 pagi.

Menerusi video berkenaan, individu yang bertindak merakam insiden tersebut juga seperti bersifat ‘batu api’ apabila mengeluarkan kata-kata provokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pergaduhan itu dilaporkan pihak pengetua sekolah.

Rakaman pergaduhan yang tular.


Kesemua pelajar yang terlibat juga telah diberi amaran keras selepas pertemuan diadakan terlebih dahulu bersama pihak guru.

Hasil siasatan mendapati, kejadian berpunca akibat ejekan pelajar sekolah yang berlaku sewaktu masa rehat.

Kesemua mereka bagaimanapun mengakui kesalahan yang dilakukan selain berjanji tidak mengulangi insiden sama.

Pergaduhan yang kelihatan kecoh pada awalnya bagaimanapun berjaya dikawal setelah kesemua pelajar yang terlibat memilih untuk berdamai.

Pihak sekolah juga enggan membuat laporan polis susulan tiada kecederaan serius yang berlaku sewaktu kejadian.