“TIDAK pernah terlintas dalam fikiran saya, gelaran kapten di dalam pesawat dulu bertukar menjadi pekerja gerai di bawah khemah pula,” kata bekas juruterbang, Kapten Azrin Mohamad Zawawi, lapor Harian Metro.
Azrin, 44, yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam tiga syarikat penerbangan berbeza itu terpaksa akur menerima surat pemberhentian tugas, 30 Oktober lalu.
Tidak hanya berdiam diri, Azrin dan isterinya Latun Noralyani Meor Aminudin lebih awal mengambil keputusan membuka gerai makanan dengan nama Kapten Corner di Boom Town Cafe, USJ 11, Subang Jaya, Selangor, mulai 23 Oktober lalu.
Siapa sangka nama dan simbolik pemakaian seragam juruterbangnya lengkap dengan tanda pangkat ’empat bar’, topi, lencana sayap dan apron merah di kedai itu berjaya menarik perhatian pembeli sehingga tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.
Azrin berkata, dia tidak menyangka gambar dimuat naik bapanya, Mohamad Zawawi Ahmad ketika pelancaran gerainya itu viral di media sosial.
“Saya memakai seragam lengkap itu bertujuan untuk disimpan sebagai gambar kenangan kali terakhir memakainya sebelum bertukar menjadi pekerja gerai sepenuh masa.
“Tidak sangka dahulu pakai seragam beberapa kali saja ketika bertugas, tetapi kini kena pakai setiap hari pula disebabkan permintaan ramai pelanggan,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, walaupun agak panas memakai baju seragam juruterbangnya itu, dia tetap akan memakainya buat masa ini demi kepuasan hati pelanggan yang berkunjung di gerainya.
Katanya, dia masih dalam proses berbincang dengan pengusaha tapak gerai untuk menukar baju kerja kepada warna putih memandangkan jika mengikut syarat ditetapkan adalah berwarna hitam.
“Saya sebenarnya sudah merancang dan bersedia lebih awal sebelum menerima surat penamatan tugas.
“Situasi ini betul-betul membuatkan saya dan isteri terduduk dalam mencari punca pendapatan untuk menanggung kos kehidupan kami enam beranak.
“Mana tidaknya perbelanjaan harian, bayaran rumah dan kereta, bil utiliti dan tanggungan empat anak saya yang masih bersekolah memakan belanja sekitar RM30,000 sebulan,” katanya.
Menurutnya, dia berharap usaha dia dan isteri membuka gerai makanan itu dapat menanggung kos kehidupan keluarganya selepas ini.
Katanya, dia mengetengahkan masakan utara untuk dijual di gerainya termasuk mi kari, bihun sup, laksa utara dan rojak buah.
“Ibu mentua, Rohime Abdul Rahman yang menjadi ketua tukang masak utama manakala saya, isteri serta adik ipar menguruskannya di gerai.
“Dulu menu di gerai itu menjadi menu makanan ketika sambutan hari jadi, doa selamat atau sebarang majlis keramaian di rumah.
“Namun, sekarang dibuat setiap hari pula untuk dijual demi mencari punca pendapatan kami sekeluarga,” katanya.
Beliau berkata, dia bersyukur kerana lebih 200 bekas dijual apabila membuka gerai bermula 1 tengah hari hingga 9.30 malam.
Menurutnya, walaupun pendapatan kasar hanya mencecah RM1,500 sehari berbanding anggaran gaji juruterbang RM50,000 sebulan, dia tetap bersyukur masih ada punca pendapatan untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Katanya, selepas perkongsiannya tular di media sosial, dia menerima ratusan mesej menerusi aplikasi WhatsApp terutama pelanggan bertanyakan lokasi perniagaan dan ingin membuat tempahan makanan.
Terdahulu, gerai Kapten Corner milik Azrin yang juga bekas juruterbang itu viral di Facebook dan mendapat perhatian netizen sehingga dikongsi ribuan pengikut.
Sumber: Harian Metro