TULAR satu kisah sedih yang dikongsi oleh seorang pengguna Tiktok yang dikenali sebagai Rinie Muji apabila seorang lelaki yang datang ke kedainya untuk menjual tong gas.
Video yang berdurasi 59 saat itu pada awalnya menunjukkan situasi pemuda tersebut dilihat seperti dalam keadaan susah hati dan seperti ingin bertanya sesuatu kepada gadis berkenaan tetapi tidak diendahkan.
Namun, lelaki itu tiba-tiba memohon maaf dan menyatakan bahawa dia segan untuk menyatakan masalahnya. Selepas melihat raut wajah pemuda itu, wanita tersebut baru sedar bahawa pemuda itu dalam keadaan sedih dan susah memerlukan bantuan.
“Dia bertanya adakah boleh jika dia menjual tong gas tersebut kerana dia mahu menyara orang tuanya yang kebuluran sejak pandemik”, jelas gadis itu melalui tulisan pada video.
Menurut gadis itu, “lelaki itu terpaksa diberhentikan kerja kerana sejak PKP syarikat dia berkerja perlu ditutup dan tempoh PKP masih diteruskan”.
Sejurus mendengar penjelasan pemuda tersebut, gadis itu terus menerima urusan jual beli kerana memahami situasi yang dihadapi pemuda ini dan turut memberikan beberapa plastik berisi barang keperluan sebagai sedikit sumbangan untuk membantu meringankan beban.
Perkongsian itu mendapat perhatian warganet dan gadis itu turut dipuji kerana keprihatinannya kepada orang yang memerlukan.
Dalam pada itu, ada juga pihak yang mempersoal dimana dan apakah tindakan wakil rakyat bagi menghulurkan bantuan kepada rakyat yang kesusahan.
Apa pun, semoga rezeki pemuda dan gadis itu semakin luas dan dipermudahkan.