KUSANGKA permata rupanya kaca! Seorang ‘gadis’ yang berkongsi minat menunggang motosikal berkuasa besar rupanya seorang lelaki berusia 50 tahun, sekali gus mengejutkan peminat sukan pemotoran, lapor Sinar Harian.
Pelumba Jepun yang dikenali dikenali @azusagakuyuki memiliki ramai pengikut di laman sosial kerana menampilkan gaya feminin menunggang motosikal di jalan raya selain gemar berkongsi gambar swafoto bersama motosikal berkuasa tingginya.
Lebih menarik perhatian, dia sering ‘belanja’ rupa paras yang cantik dengan rambut panjang, solekan mata yang mempunyai ciri-ciri gadis cantik sehingga menarik orang ramai mengikuti perkembangannya di laman sosial.
Bagaimanapun, satu program tempatan di Jepun telah membongkar rahsia sebenar wajah @azusagakuyuki.
Seorang kru program terbabit berjaya mendedahkan gadis itu sebenarnya adalah seorang lelaki usia separuh abad dengan rambut ikal mayang berwarna perang.
Dia mengaku ‘memancing’ peminatnya dengan menggunakan aplikasi FaceApp untuk mengubah wajahnya lebih feminin seperti gadis berbanding diri sebenar.
Sebelum ini, dia memberitahu tidak mempunyai ramai pengikut di Twitter ketika memuat naik gambarnya sendiri berbanding selepas memuat naik gambar gadis cantik di Twitter.
Dia kini memperoleh lebih dari 17,000 pengikut di Twitter dan meraih lebih ribuan tanda suka hingga tular di laman sosial.
Sumber: Sinar Harian