ANAK lelaki kepada wanita yang terbabas ke kawasan Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang semalam meminta supaya orang ramai berhenti menularkan gambar kejadian dan mencaci ibunya.
Syafiq Sidek, 30, berkata, dia sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam, bagi meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat hantaran di Facebook (FB) yang berunsurkan fitnah dan makian itu, lapor Berita Harian.
“Ibu masih trauma dan bersedih kerana baru saja kehilangan suami tercinta akibat Covid-19 pada Ogos tahun lalu. Arwah dikebumikan di lokasi kejadian.
“Saya mohon jasa baik semua untuk menghentikan tular ini. Kami sekeluarga berusaha untuk memberi semangat kepada ibu,” katanya kepada Berita Harian.
Syafiq berkata, dia sekeluarga dengan ikhlas memaafkan individu yang mencaci ibunya di laman sosial sebelum ini kerana menganggap mereka tidak mengetahui punca kejadian.
“Kami dah lalui saat yang perit dan sukar sebelum ini jadi tidak mahu orang lain rasa apa yang kami rasa. Cukup kami sekeluarga saja yang menanggungnya.
“Bagaimanapun, jika masih ada pihak yang masih menyebarkan fitnah, kami akan teruskan tindakan melalui SKMM terhadap pihak berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pemandunya dikatakan mengalami hipoglisemia (glukosa darah rendah) ketika mahu memandu keluar dari kawasan parkir selepas menziarahi kubur suaminya.
Sumber: Harian Metro