TAK reti nak bersyukur? Tidak dapat dinafikan anak muda zaman sekarang sangat berbeza jika dibandingkan dengan zaman dahulu. Semuanya hanya kerana ingin menunjuk-nunjuk dan malu jika tidak setanding dengan rakan-rakan, lapor portal Gulapop.
Seperti satu kisah dikongsikan di Facebook UTAR Confession yang diolah semula portal World Of Buzz, seorang anak bengang apabila bapanya mungkir janji untuk membelikan Honda Civic beberapa bulan lalu tetapi sebaliknya hanya dibelikan Perodua Myvi.
Katanya pada suatu hari ibunya memberitahu kereta barunya telah sampai dan dia dengan gembira keluar rumah untuk melihat keretanya itu. Namun, kegembiraannya bertukar duka apabila kereta yang dibeli bapanya hanya Myvi.
Tidak puas hati dengan kereta yang diterima, dia berhadapan dengan bapanya tetapi bapanya hanya mentertawakannya. Katanya lagi, mungkin bapanya membeli kereta tersebut hanya untuk ‘mengusiknya’ sahaja.
Melihatkan kereta tersebut bukan seperti yang dimahukan, dia terus masuk ke bilik dalam keadaan marah.
Menerusi perkongsian tersebut, dia meluahkan rasa marah bapanya mampu membeli Myvi secara tunai tetapi tak dapat belikan Honda Civic yang hanya beza beberapa ribu ringgit sahaja.
“Dia membeli Myvi tersebut dengan wang tunai tetapi tidak dapat membeli Civic yang hanya bezanya beberapa ribu ringgit? Dia sendiri memandu Volvo yang berharga lebih dari RM300k!”
Dia turut bertanya kepada bapanya bagaimana dia mahu Myvi sedangkan rata-rata rakannya memandu BMW dan Volkswagens, dia pasti akan menjadi bahan ketawa jika hanya membawa Myvi sahaja.
Katanya lagi, bapanya sudah berjanji untuk menghadiahkan kereta tersebut jika dia berjaya dalam peperiksaan pada semester pertama dan dia juga membantu syarikat bapanya dalam hal perakaunan.
Kecewa hanya diberikan Myvi sahaja, dia bermasam muka dengan bapanya lebih seminggu dan enggan bercakap dengannya. Namun hubungan mereka pulih selepas bapanya sering membelikan makanan kegemarannya dan menghantar mesej kepadanya setiap hari.
“Ketika saya dan ibu keluar, ibu memuji kereta Myvi tersebut kerana sangat selesa. Saya memberitahu ibu saya untuk tidak bercakap tentangnya,” katanya.
Namun, di akhir perkongsian itu dia turut mengatakan bahawa dia dalam dilema kerana mempunyai bapa seperti itu serta mempersoalkan mengapa bapanya tidak mengikut kehendaknya dan melayannya dengan baik.
“Ketika dia sudah tua, saya perlu menjaga dan berbakti kepadanya, jadi mengapa dia tidak dapat memperlakukan saya lebih baik sekarang?,” katanya.
Sumber: Gulapop