Istana Pahang Menafikan Dakwaan Perkahwinan Tengku Hassanal Pada April Depan

KUANTAN – Istana Pahang telah menafikan dakwaan yang tular di media sosial Instagram mengenai perancangan perkahwinan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang kononnya akan berlangsung pada April tahun depan.

Menurut Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, pihak istana menegaskan bahawa tiada sebarang perkahwinan diraja yang melibatkan Tengku Mahkota Pahang pada tarikh tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah oleh individu yang sama, yang menyebarkan maklumat palsu melalui media sosial.

“Orang ramai diingatkan agar tidak mempercayai kenyataan yang dipaparkan oleh mana-mana pihak selain daripada sumber rasmi Istana Pahang seperti portal istanapahang.my dan platform media sosial rasmi seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube yang menggunakan nama Kesultanan Pahang,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam hantaran yang dimuat naik oleh individu dengan nama pengguna Instagram Faridah Daud (faridah.daud_l), wanita tersebut mendakwa akan berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang pada bulan April, sekali gus mengaitkan nama Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai pasangan hidupnya.