DALAM rezeki kita, jangan lupa ada rezeki orang lain juga.
Seperti mana yang viral di media sosial ketika ini, rakaman video sepasang adik-beradik yang mengemis di depan sebuah restoran makanan segera jelas mengundang perasaan sebak netizen, lapor portal The Reporter.
Individu yang merekodkan video viral itu, Samuel Lee Wui Phung memberitahu, insiden itu dirakam di KFC cawangan Likas, Sabah baru-baru ini.
Pada mulanya, dia berasa kasihan melihat dua beradik itu yang kelihatan lapar dan mungkin tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makanan. Samuel kemudiannya menghulurkan sedikit wang kepada dua beradik itu.
“Pada awalnya, saya hanya hulur sedikit duit untuk kanak-kanak itu. Tetapi apabila saya nampak mereka berdua mengira duit itu, mata saya bergelinangan.
“Dalam masa yang sama, teman wanita saya sedang menapau makanan di KFC, lalu saya suruh belikan sekali untuk dua budak itu,” katanya seperti mana yang dilaporkan The Reporter.
Sebaik saja menerima makanan itu, terpancar rasa kesyukuran di wajah dua beradik itu. Mereka kemudian menunjukkan thumbs up kepada Samuel sebagai isyarat berterima kasih di atas pemberiannya itu.
“Bila tengok reaksi sebenar dari budak-budak itu membuatkan saya tak tahu nak cakap apa.. Semoga mereka diberkati Tuhan. Virus Covid-19, tolonglah pergi. Rakyat sedang menderita,” tulisnya di kapsyen video tersebut.
Di media sosial, netizen memuji kebaikan Samuel dan pasangannya yang sudi membantu dua beradik itu.
Semoga mereka yang berada dalam kesusahan, dipermudahkan urusan, dilimpah rezeki yang mencukupi, dilindungi dari sebarang musibah.
Sumber: The Reporter